Terowong Paka antara 55 terowong yang dibina untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) . Gambar fail MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan tuduhan kononnya kerajaan akan menyerahkan aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada China sebagai kenyataan tidak berasas sama sekali.

Menurut berkata, dakwaan itu sengaja dicetuskan sebagai satu propaganda berniat jahat sebagaimana naratif sesetengah pihak sebelum ini berhubung projek pembangunan Forest City dan usaha sama Proton-Geely.

Tegas beliau, naratif pihak terlibat ialah apabila negara asing menguasai aset Malaysia, aset negara digadai dan kedaulatan negara diceroboh.

Ini bukan sahaja fitnah, tetapi memburukkan imej Malaysia bagi kaca mata masyarakat dunia, lebih teruk lagi ia menghakis kepercayaan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Jelas Ka Siong, Malaysia Rail Link (MRL) sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan CCCC bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 untuk dilantik sebagai operator ECRL.

Sebagai operator, syarikat usaha sama ini akan menjalankan pengurusan, operasi dan penyenggaraan keseluruhan perkhidmatan ECRL.

Melalui MOU ini, 80% daripada keuntungan operasi akan dimiliki MRL dan bakinya dimiliki CCCC.

“Sebarang kerugian operasi akan ditanggung bersama 50:50. Ini membuktikan keyakinan pihak dari negara China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti dan kelestarian perkhidmatannya.

“Oleh itu spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL kepada negara China adalah tidak berasas sama sekali,” jelasnya.

Lagipun aset ECRL adalah 100% milik Kerajaan Malaysia melalui MRL dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

Tambahnya, pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada bank milik Kerajaan China itu juga langsung tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah-tanah disepanjang jajaran ECRL.

MRL adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala syarikat CCCC adalah kontraktor utama.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer ini dijadual siap pada Disember 2026, akan melalui negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL akan mengurangkan tempoh masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak dalam masa empat jam.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, Ka Siong berkata, beliau tidak mampu mengubah tanggapan sesetengah pihak yang tetap dengan pendiriannya walaupun ia songsang, tidak tepat dan jauh terpesong daripada realiti.

“Saya di sini hanya menjelaskan perkara sebenar bersandarkan kepada fakta. Saya sedaya upaya memberi penjelasan yang mudah difahami semua pihak.

”Saya juga sentiasa terbuka menerima pandangan mahupun kritikan membina daripada sesiapa sahaja, bukannya dengan cara membuat tuduhan berbaur fitnah atau meneruskan propaganda berniat jahat hanya kerana perbezaan politik yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette