KUALA LUMPUR – Skuad muda Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk menempah tiket awal ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2021 selepas terikat 2-2 dengan Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam, sebentar tadi.

Malaysia yang perlu menang untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir berada di depan seawal minit keempat menerusi rembatan jarak dekat Luqman Hakim Shamsudin.

Namun kedudukan itu hanya bertahan tiga minit apabila Singapura berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan deras dari luar kotak penalti yang dilakukan Muhammad Shah Shahiran.

Luqman berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-32 apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan Zaiful Nizam Abdullah, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Singapura itu.

Bagaimanapun Singapura membuat kejutan apabila berjaya mendapatkan gol kedua menerusi Harhys Rizal Gareth Ian yang menolak masuk bola berpunca daripada sepakan percuma Muhammad Shah.

Kapten Malaysia, Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi jaringan Faiz Amer Runnizar dan kedudukan 2-2 kekal hingga wisel penamat.

Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan antara Thailand dan Kemboja malam ini yang mana jika aksi kedua-dua pasukan itu tidak berakhir dengan keputusan seri, satu slot ke separuh akhir sah akan menjadi milik anak buah Maloney.

Namun, sekiranya aksi Thailand dan Kemboja berkesudahan seri, skuad negara perlu mengelak daripada tewas di tangan Kemboja pada aksi terakhir kumpulan di gelanggang sama pada Isnin ini untuk ke separuh akhir atau meraih kemenangan jika mahu mara selaku juara kumpulan. – MalaysiaGazette