Dr Sathia Prakash Nadarajan.

HULU SELANGOR – Bahang pemilihan PKR 2022-2025 semakin memuncak dengan masing-masing menggunakan pelbagai cara dan strategi memenangi hati pengundi termasuk di Cabang Hulu Selangor.

Calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan yang membuat kejutan untuk turut sama-sama terjun dalam politik membuat kenyataan terbuka dirinya tidak kisah untuk berdebat dengan sesiapa tentang apa jua topik terutamanya melibatkan kepentingan masyarakat.

“Saya sendiri tidak tahu menahu tentang satu poster yang kini tular di Hulu Selangor ketika pemilihan ini yang mempelawa saya dan juga pihak lain bertanding Ketua Cabang di sini untuk berdebat. Mestilah saya tidak ada masalah tentang itu.

“Pada saya selagi ianya berfakta dan berfungsi untuk membawa manfaat kepada warga Hulu Selangor, saya setuju. Lagi pun jika ada yang fikir saya calon bidan terjun, mungkin ini juga masa untuk saya buktikan saya bukanlah omong-omong kosong bila bercakap tentang perjuangan kebajikan penduduk setempat.

“Saya juga mempunyai pengetahuan tentang kawasan ini, tentang permasalahan masyarakat kita malah lebih dari maklum tentang rata-rata isu menghantui sejak dulu lagi kerana saya juga anak jati sini. Saya kini bergelar doktor berjaya tapi mungkin ada yang lupa, saya anak seorang posmen yang bertugas di Hulu Selangor untuk sekian lama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Dr. Sathia, klinik-kliniknya kebanyaka buka di Hulu Selangor termasuklah kawasan pedalaman kerana hendak memastikan semua mendapat kemudahan kesihatan malah ada beberapa klinik SP Care itu beroperasi 24 jam.

“Jadi soal saya ini baru setahun jagung memang tidak masuk akal,” katanya lagi.

Kelmarin 13 sehingga 22 Mei ini, pemilihan PKR selama 10 hari akan berlangsung mengikut peringkat dan negeri ketika ini.

Hanya untuk jawatan Presiden PKR tidak ada pertandingan sekaligus penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai pemimpin nombor satu tanpa persaingan parti reformasi itu.

Kata Dr Sathia yang juga pengasas 13 rangkaian klinik SP Care Group, debat yang sihat pastinya membawa banyak kebaikan kerana fakta dan cadangan sebenarnya akan membuka mata pelbagai pihak.

Poster viral debat Hulu Selangor.

“Jangan mahu berdebat kerana hendak lakukan serangan peribadi untuk kepentingan atau agenda tertentu. Rakyat atau masyarakat setempat mahu kita kita bawa perubahan dan bukan biarkan mereka di takuk lama, mereka mahu kita jadi pemimpin contoh jadi jangan salah gunakan kepercayaan mereka.

“Kita debat tentang apa yang kita sedang buat dan apakah yang boleh kita buat selepas ini. Jawapan untuk segala permasalahan mereka, tidak ada apa-apa yang mustahil tetapi ianya hanya akan menjadi realiti jika ada kesungguhan dan kreativiti untuk menyelesaikannya,” tegasnya.

Dr Sathia akan berdepan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Cabang Hulu antaranya penyandang yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan seorang lagi calon iaitu Azizan Zakaria. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast