Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO akan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam meluluskan usul pindaan perlembagaan parti berkaitan melanjutkan pemilihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO akan menghantar surat kepada RoS bagi tujuan itu sebelum ia boleh berkuatkuasa.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, parti akan menunggu keputusan yang akan dibuat oleh RoS.

“Seperti yang kita tahu usul itu telah pun diterima sebulat suara.
Selepas ini UMNO akan menulis surat kepada RoS untuk mendapatkan kelulusan. Itulah prosedur dia.

“Kita tidak tahulah (RoS akan luluskan atau tidak) pasal kita akan hantar permohonan untuk mendapatkan kebenaran daripada RoS tentang pindaan itu, kita kena tunggu. Dalam masa 60 hari kita kena hantar,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai Persidangan Agung Khas UMNO di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat penganalisa politik berpendapat, UMNO akan berhadapan dengan isu sekiranya pindaan perlembagaan yang dibuat oleh UMNO akan dibatalkan oleh RoS.

Sekiranya akan berlaku, ia akan menyulitkan lagi proses tadbir urus parti.

Seramai 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara yang menghadiri PAU Khas hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.

Usul yang diluluskan secara rasminya itu membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Dengan kelulusan rasmi itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, tarikh pilihan raya itu akan ditetapkan oleh Kabinet.

“Tarikh itu ditetapkan oleh Kerajaan dengan keputusan daripada Kabinet kita akan bawa dalam mesyuarat Kabinet kalau ada apa-apa.

“Parti berbeza dengan kerajaan kerana parti pun tahu bahawa kalau ada cadangan bawa ke Kabinet dan Kabinet memutuskan, kalau pun Kabinet telah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong itu, sahaja dari segi prosedur.

“Kita tunggulah, kalau saya beritahu awak, awal dah tahu dah,” kata Ismail Sabri.

Usul pindaan perlembahaan UMNO hari ini bertujuan memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan dalaman.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.