Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Usul meminda Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU- 15) yang diluluskan sebulat suara hari ini demi kestabilan politik.

Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keyakinan rakyat hanya akan dapat diraih sekiranya parti mampu menawarkan kestabilan.

“Kestabilan yang kita nak tawarkan kepada rakyat pada PRU-15 sebagaimana yang kita tawarkan dan saksikan di PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor apabila rakyat meyakini parti kita dan ia berteraskan kestabilan dalaman parti

“Sebab itulah kestabilan yang kita nak tawarkan harus bermula daripada kestabilan dalaman parti dan ini adalah sebahagian daripada proses untuk pastikan kita dapat pastikan dipertahankan,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini selepas Persidangan Agung Khas UMNO.

Beliau yakin kestabilan dalaman parti akan dapat menjadi formula baik  untuk berhadapan dengan PRU-15.

Terdahulu, ASyraf Wajdi mengesahkan bahawa usul meminda Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya yang akan datang lulus secara sebulat suara.

“Semuanya bangun tidak berasaskan suara sahaja tapi semua bangun tanda sokongan apabila cadangan pindaan itu dibacakan oleh Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong Naib Presiden pertama, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya lagi.

Untuk rekod, Asyraf Wajdi dalam ucapan dasar ketika Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 17 Mac lalu mencadangkan supaya perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.-MalaysiaGazette