Aznie Afiza Mohammad Shafia melakukan aktiviti skuba di Pulau Bidong, Terengganu dengan memakai baju raya pada 14 Mei lalu.

KUANTAN – “Raya sebulan, jadi berskuba pun boleh pakai baju raya dan beraya dengan alam hidupan laut bersama batu karang yang cantik serta unik.”

Demikian ujar pemilik nama Aznie Afiza Mohammad Shafian, 33, berkongsi aktiviti meyelam sambil mengenakan baju kurung di Pulau Bidong, Terengganu baru -baru ini.

Jelas Aznie, kecintaannya dengan dunia skuba tidak dapat dinafikan.

Beliau yang menjadi penyelam bertauliah sejak tahun 2015 sudah melakukan 67 aktiviti selaman di lebih 30 lokasi peraiaran dalam Malaysia termasuk di Lombok, Indonesia.

Ketika ditanya pengalaman menyarung baju kurung dan berenang 18 meter dalam dasar laut, beliau berkata,  pakaian tersebut tidak menghalang kerana menyarung sut skuba pada lapisan pertama.

“Berskuba pakai baju raya tercetus apabila program Raya Dive bersama sekumpulan penyelam lain sempena meraikan Aidilfitri, kita pakai sut selam  dahulu kemudian sarung baju kurung.

“Saya memang suka tengok batu karang yang cantik-cantik, macam-macam jenis dan warna kerana setiap tempat baru karang tak sama.

“Tiada masalah dan tidak susah berenang dan menyelam hanya seperti biasa, cuma rasa seronok buat aktiviti sempena Aidilfiti pakai baju raya,” ujarnya.

Aznie merakam detik indah beraya di dasar laut

Beliau berkongsi kenangan Syawal itu bersama bersama seorang kawan sebagai kenangan terindah dan sempat merakam gambar sebagai memori di dasar laut.

Mula mendapatkan lesen Professional Association of Diving Instructors (PADI)  sejak 2015 lagi, anak jati kelahiran Pahang itu kini melanjutkan ilmu menyelam menjadi dive master kepada instruktor.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu melakukan aktiviti berskuba sekurang-kurangnya sebulan sekali berpendapat aktiviti itu boleh dilakukan oleh mereka yang tidak pandai berenang.

“Kebanyakan orang takut aktiviti rasa leceh, susah tapi sebenarnya jangan panik dan tenang sahaja di mana semua pecinta alam laut dapat melihati kecantikan dalam perut bumi.

“Tahu tak sebenarnya tak perlu pandai berenang kalau nak buat aktiviti skuba, hanya perlu yakin dan tenang dalam air menggerakkan kaki dalam air

“Saya dulu memang tak pandai berenang dulu sehingga belajar renang semasa bersama pasukan TLDM antara 2008 sehingga 2010 dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Aznie yang juga menceburi bidang insurans takaful hampir 10 tahun itu menganggap aktiviti menyelam dapat mendekati dan mengenali dunia maritim.

“Bila kita dalam laut, kita rasa humble apabila bersama alam lain berbanding kita terbang tinggi di awan dengan menaiki pesawat kita rasa mendongat langit,” ujarnya. – MalaysiaGazette