Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak hadir pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Najib membidas Mahathir dengan berkata perkara itu biarlah diselesaikan pucuk pimpinan UMNO sendiri.

“Dia ni tubuh parti pertama, anak jadi timbalan presiden. Tubuh parti kedua, anak terus jadi presiden. Ada hati lagi nak pertikaikan pemilihan parti orang lain? Nama parti kamu PETAI.

“Hal UMNO, biar kami di UMNO kendali,” sinis Najib di Facebooknya hari ini.

Najib berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa parti tunjang kaum Melayu itu tidak menghormati perlembagaan sendiri apabila meluluskan usul meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang)  turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan berkenaan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, usul pindaan Perlembagaan UMNO menangguh pemilihan parti yang diluluskan semalam bagi membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan pindaan perlembagaan itu dilakukan demi menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast