Dr. Ibrahim pada sidang media isu pengambilan tanah Mukim Kutan dan Mukim Pasir Pekan oleh kerajaan Pas Kelantan

TUMPAT – Rakyat Kelantan diingatkan supaya tidak terpengaruh untuk menjual tanah kepada kerajaan negeri yang kononnya hendak dimajukan dengan projek pembangunan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sudah ramai rakyat ditipu kerajaan negeri yang berjanji membayar pampasan atau nilai yang tinggi tetapi selepas dipersetujui, bayarannya tidak seperti dijanjikan.

“Ini berlaku kepada penduduk di Kampung Paloh, Kota Bharu, yang mana kerajaan negeri berjanji membayar sejumlah harga, tetapi apabila sudah dimiliki hanya separuh pembayaran dibuat.

“Sekarang saya bawa kes itu ke mahkamah untuk menuntut kadar pampasan dijanjikan dan kini masih dalam semakan kehakiman,” katanya pada sidang media mengenai isu pengambilan tanah Mukim Kutan dan Mukim Pasir Pekan dalam Parlimen Tumpat semalam.

Tanah seluas kira-kira 180 ekar itu dikenal pasti oleh kerajaan Pas Kelantan untuk dimajukan projek pembangunan, tetapi pampasan dijanjikan tidak berbaloi sekiranya penduduk yang juga pemilik hartanah berkenaan bersetuju.

Menurut Ibrahim, kerajaan negeri boleh mencari tanah lain miliknya jika mahu laksanakan pembangunan bersama syarikat swasta.

“Kalau untuk kepentingan awam seperti yang mereka kata, konon nak bina bandar baru carilah tanah lain, banyak lagi tanah milik kerajaan negeri yang lapang yang kosong.

“Tanah di Mukim Kutan dan Pasir Pekan ini mempunyai penduduk yang sangat padat. Apa tujuan kerajaan nak ambil tanah ini kalau bukan untuk tujuan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Pas Kelantan boleh tipu rakyat, tetapi mereka tak boleh tipu saya sebagai anak Kelantan,” katanya.

Ibrahim menyokong sebarang pembangunan yang hendak dilaksanakan kerajaan negeri tetapi pembangunan yang macam mana dan mempersoalkan kenapa mereka beria sangat hendak mengambil tanah di Mukim Kutan dan Mukim Pasir Pekan.

Kata beliau, tanah itu kedudukannya di tepi jalan dan milik orang Melayu.

“Kalau nak buat projek di situ, kerajaan negeri mesti adakan sesi pendengaran yang lebih telus. Adakan dialog dengan penduduk dan jelaskan apa tujuan serta berapa nilai pampasan yang nak dibayar.

“Kalau nak bangunkan kawasan ini berapa ratus unit rumah nak dibina, berapa peratus diperuntukan untuk bumiputera dan bukan bumiputera. Ini semua rakyat nak tahu.

“Apa yang saya nampak, ini projek komersial untuk mencari untung, bukan kepentingan awam. Saya bimbang nanti, tanah orang Melayu ini tiba-tiba dimiliki oleh bukan bumiputera,” tegas beliau.

Menurutnya, apabila tanah di dua mukim itu diambil alih, sudah tentu syarikat yang yang akan dianugerahkan tanah berkenaan akan bayar pampasan bukan kerajaan negeri.

“Dan ini pernah berlaku kepada penduduk di Kampung Paloh. Saya tidak mahu ia berulang kepada penduduk di Mukim Kutan dan Pasir Pekan, kawasan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub selaku wakil rakyat di sini.

“Kepada penduduk Kutan yang terlibat dengan perancangan projek kerajaan Pas ini harus tahu, tanah ini sangat bernilai walaupun berstatus pertanian.

“Kalau mereka jual, tentu nilainya sangat rendah dan apabila kerajaan atau syarikat berkenaan memperolehinya, mereka akan tukar kepada status pembangunan. Siapa yang untung?” soal beliau.

Beliau berkata, majoriti penduduk Kutan dan Pasir Pekan datang berjumpa minta hak mereka dibela dan dipertahankan daripada diperkotak-katikkan oleh kerajaan negeri. – MalaysiaGazette