SHAH ALAM – Usul pindaan Perlembagaan UMNO yang penangguhan pemilihan parti sehingga tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dipersetujui sebulat suara semalam membuktikan perpaduan parti berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ia sekaligus menafikan dakwaan wujudnya puak-puak dalam parti berkenaan.
“Persidangan Agung Khas semalam menunjukkan UMNO semakin mantap di mana seluruh ahli yang hadir memberikan sokongan dan yang lebih.
“Kalau ada orang kata ada Kluster Putrajaya, Kluster UMNO itu tidak betul. Ia membuktikan yang kita ada adalah perpaduan UMNO,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini malam ini.
Turut hadir adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO turut kelihatan pada majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Noh berkata, pindaan berkenaan akan menamatkan teka teki dalam kalangan ahli berkenaan waktu yang tepat sepatutnya pemilihan parti harus diadakan.
“Dengan adanya pindaan tersebut, bermakna tidak ada timbul lagi isu nak pilihan raya dulu atau nak pemilihan parti dulu. Jadi ini semua terserah dengan pimpinan,” katanya lagi.
Sebagai rekod, ahli UMNO yang hadir pada Persidangan Agung Khas pada Ahad lalu sebulat suara menyokong pindaan perlembagaan dibuat bagi membolehkan penangguhan pemilihan parti selepas pilihan raya diadakan. – MalaysiaGazette