Tun Dr Mahathir Mohamad Parti Pejuang Tanah Air
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan UMNO tidak menghormati perlembagaan parti sendiri apabila membuat pindaan melanjutkan tempoh pemilihan pucuk pimpinan yang baharu.

Menurutnya, UMNO mengambil jalan mudah dengan meminda perlembagaan parti bagi mengelak perpecahan dalam parti itu.

Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO itu berkata, parti itu tahu mereka akan menghadapi perpecahan sekiranya pemilihan UMNO berlangsung.

“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah UMNO, jadi mereka ambil jalan senang. Ini kalau dalam jangka yang pendek, tak apalah. Ini sampai berbulan nak tangguh. Itu bermakna UMNO tidak hormati perlembagaan dia,” ujarnya.

Perhimpunan Agung Khas (PAU) UMNO semalam sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaannya yang membolehkan pemilihan parti dibuat enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) berlangsung.

Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Beberapa pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini berterus terang mengatakan perpecahan akan berlaku sekiranya pemilihan berlangsung sebelum PRU-15 yang akan menyebabkan kesukaran untuk parti itu memberi tumpuan terhadap pilihan raya berkenaan.

Sementara itu Mahathir menegaskan, PRU-15 tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Langkawi itu bimbang jumlah kes Covid-19 akan meningkat semula sekiranya pilihan raya tersebut diadakan sekarang.

“Sekarang, mungkin bukan masa yang sesuai untuk PRU. Kita kena ingat bahawa Covid ini tak mudah kita tepis. Dia (Covid-19) mungkin ada di mana-mana sahaja.

“Mungkin ada pula nama jenis (varian) baharu yang akan menyerang kita (selepas PRU-15),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk Langkawi hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan terbaharu mengenai PRU-15 berkata, tarikh pilihan raya belum ditetapkan lagi.

Malah pemimpin UMNO, menurut beliau juga tidak tahu tarikh PRU-15 akan diadakan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) akan bawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

“Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas menghadiri PAU Khas semalam.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast