Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

MELAKA – Kes jenayah termasuk pecah rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri di Melaka tahun ini meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, peningkatan tujuh kes itu menyaksikan 79 kejadian tahun ini bermula 25 April hingga 15 Mei berbanding 72 kes antara 3 Mei hingga 23 Mei 2021.

Perbandingan itu adalah sempena pelaksanaan Ops Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bermula seminggu menjelang Aidilfitri dan dua minggu selepas Syawal.

“Daripada 79 kes tahun ini, 61 kes adalah jenayah harta benda dengan pecahan pecah rumah dan curi (33 kes), curi (14), curi motosikal (13) dan satu kes curi kereta.

“Baki 18 kes melibatkan jenayah kekerasan melibatkan mencederakan sebanyak 12 kes, samun berkawan tanpa senjata api (3), rogol (2) dan samun tanpa senjata api satu kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ayer Keroh hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, daripada 72 kes tahun lalu, 56 melibatkan jenayah harta benda manakala 16 adalah jenayah kekerasan.

“Bagi perbandingan kes pecah rumah, tahun ini berlaku peningkatan sebanyak 12 kes iaitu daripada 21 kes pada tahun lalu kepada 33 kes tahun ini.

“Polis Melaka akan terus melipatgandakan usaha untuk mencegah sebarang kejadian jenayah termasuk dengan bantuan orang ramai melalui program kepolisan masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette