pusat hiburan
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Selepas ditutup selama 790 hari, pusat hiburan malam telah dibenarkan dibuka semula dan dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 peratus premis sempat dibuka pada 15 Mei.

Naib Presiden Persatuan Restoran dan Bistro, Jeremy Lim berkata, secara umumnya prestasi perniagaan adalah lebih baik daripada jangkaan dan memperlihatkan banyak kunjungan dari pelawat warga Singapura.

Beliau berkata, walaupun perniagaan adalah baik, tetapi tidak sebaik sebelum berlaku pandemik.

Katanya, ramai pemilik premis juga sibuk melakukan pengubahsuaian dan tidak sempat berniaga pada 15 Mei.

“Kami bersenang kerana pembukaan akhirnya dibenarkan selepas 790 hari dan industri ini bukan hanya menyediakan hiburan semata-mata, tetapi peluang perniagaan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, kebanyakan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tetapi terdapat pihak yang keliru dengan peraturan yang ada.

“Pengunjung perlu memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis kecuali semasa makan dan minum.

“Mereka juga perlu menunjukkan keputusan negatif ujian saringan selain mempunyai status risiko rendah dalam MySejahtera,” katanya.

Tambahnya, fungsi MySejahtera Trace juga perlu diaktifkan semasa berada dalam premis hiburan. – MalaysiaGazette