Brad Maloney

HANOI – Malaysia sudah bersedia untuk mencipta kejutan ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dalam usaha menamatkan kemarau 11 tahun merangkul ‘ibu segala pingat’ temasya sukan dwitahunan itu.

Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney yakin pasukan bimbingannya tidak gentar untuk berdepan Vietnam yang dikendalikan jurulatih ‘bengis’ dari Korea Selatan, Park Hang Seo.

Beliau berkata, menjadi lumrah dalam mana-mana pertandingan bahawa sesuatu kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah.

“Untuk memenangi kejohanan ini, kadang-kadang anda perlu berhadapan dengan pasukan terbaik. Sudah tentu tuan rumah akan menjadi lawan yang sangat sukar, tetapi pemain saya telah menunjukkan bahawa mereka tidak gentar untuk berhadapan dengan sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Pertembungan antara Vietnam yang merupakan juara Kumpulan A, dengan Malaysia selaku naib juara Kumpulan B dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho, Khamis ini.

Sementara itu, Maloney mengakui Hang Seo yang juga jurulatih skuad kebangsaan Vietnam seorang pengendali yang memiliki pendekatan taktikal yang perlu diawasi.

“Beliau mempunyai rekod cemerlang dengan negara ini sejak pelantikannya dan anak buahnya sentiasa kompetitif, baik dari segi fizikal mahupun taktikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Maloney tidak terkilan skuad bimbingannya mensia-siakan peluang untuk menjuarai saingan kumpulan dan menyifatkan mereka mendominasi setiap aksi sehingga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan.

Malah, jurulatih kelahiran Australia berusia 50 tahun itu juga berpuas hati apabila kelebihan layak ke separuh akhir lebih awal memberikan beliau peluang merehatkan beberapa pemain utama pada aksi terakhir bertemu Kemboja, semalam.

Perlawanan Khamis ini ibarat ulangan aksi separuh akhir edisi 2005 di Filipina yang menyaksikan pasukan lawan menang 2-1 dan skuad kebangsaan menamatkan saingan dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Malaysia juga terkandas di tangan Vietnam pada peringkat sama edisi 2003 di sini, selepas tumbang 3-4 dan turut membawa pulang gangsa dengan mengatasi Myanmar.

Namun, dendam dua kekalahan itu berjaya dilunaskan apabila Malaysia membenam Vietnam 1-0 di pentas final untuk merangkul emas edisi 2009 di Laos.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Dalam pada itu, satu lagi aksi separuh akhir Khamis ini, Thailand yang menjuarai saingan Kumpulan B akan menentang naib juara Kumpulan A Indonesia di Stadium Thien Truong di wilayah Nam Dinh. – Bernama