Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Dalam satu langkah mendadak bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan Permit Import (AP) bahan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  yang mengumumkan langkah itu berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil sebagai langkah penting dalam menjamin keselamatan makanan di negara ini.

Beliau berkata, dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini dan tidak lagi terhad kepada pihak tertentu sahaja.

Katanya, pemansuhan itu berkuatkuasa serta-merta.

“Saya percaya Kementerian Pertanian (Dan Industri Makanan) akan umumkan secara terperinci… kita bersetuju tadi tiada AP import lagi untuk bahan makanan.

“Ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport bahan makanan masuk ke negara kita. Jadi kalau dulu ada AP lembu, AP daging (dan) macam-macam lagi, mulai hari ini kita tiada AP lagi,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 hari ini.

Sebelum ini, wujud gesaan meminta kerajaan memansuhkan AP atau memberikan peluang kepada lebih banyak syarikat mengimport barangan jika benar-benar mahu menurunkan harganya. – MalaysiaGazette