Tajuddin Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah mendapat persetujuan daripada Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tajuddin juga telah mendapat surat persetujuan daripada Presiden republik berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, Ahli Parlimen Pasir Salak itu merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman dan perlu diberikan peluang menjalankan tugas.

“Dia orang politik lama dan berpengalaman, kita tunggulah dia menjalankan tugas,” katanya.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak yang mengkritik pelantikan Tajuddin sebagai duta dan ditempatkan di Indonesia.

Ini kerana Tajuddin dilihat sebagai pemimpin yang suka lepas cakap.

“Sesiapa pun yang dilantik, bukan semua orang puas hati,” kata Ismail Sabri ringkas seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Bekas pengerusi Prasarana itu akan menggantikan diplomat, Datuk Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 2018.-MalaysiaGazette