Tengku Zafrul Abdul Aziz

SHAH ALAM- UMNO Bahagian Kuala Selangor mengeluarkan arahan kepada pemimpin parti di kawasan tersebut supaya tidak terlibat dengan program Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada kesemua kepimpinan parti empat peringkat berhubung perkara tersebut.

Sebelum itu tular di aplikasi WhatsApp berhubung surat daripada pihak Jahaya yang memberi arahan kepada kepimpinan bahagian untuk tidak terlibat dengan program melibatkan Zafrul.

“Saya mengesahkan surat yang tular tersebut adalah benar. Bagi pihak UMNO Bahagian Kuala Selangor, saya seratus peratus menolak kehadiran beliau mengadakan program yang saya lihat merosakkan jentera Parlimen Kuala Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jahaya berkata, gerakan tersebut didalangi ‘anasir luar’ yang mahu meraih sokongan agar Tengku Zafrul bertanding sebagai calon UMNO Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Tindakan itu menurutnya boleh memecahkan UMNO bahagian itu.

Tengku Zafrul yang berstatus senator dilantik sebagai menteri kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Beliau dikekalkan dalam jemaah menteri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehingga kini, tiada sebarang respon daripada pihak Tengku Zafrul terhadap khabar angin itu.

Pada Januari, Tengku Zafrul memberitahu sebuah portal berita bahawa beliau “tiada masa untuk berfikir sama ada bakal bertanding PRU-15 atau tidak”.

Beliau sebelum ini dikaitkan dengan spekulasi untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai dan Kuala Pilah.- MalaysiaGazette