Mazlan Ali

KUALA LUMPUR – Pas boleh berpoliogami dalam politik asalkan tetap pada landasan dan mengekalkan prinsip perjuangan yang asal, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Menurutnya,  selagi Pas dan parti-parti yang akan ‘dinikahi’ itu bersetuju dengan semangat politik, perkara itu tiada salahnya.

“Bagi saya maksud poligami itu sesuai untuk maksud-maksud tertentu dan dalam Islam juga membenarkan perkahwinan lebih daripada satu, sebagaimana tahaluf siyasi itu dibenarkan dalam muafakat politik.

“Jadi, kalau Pas nak ‘kahwin’ dua atau tiga, ia tidak melanggar prinsip cuma diharapkan agar gagasan-gagasan itu haruslah ikhlas, tidak ada polemik politik yang menampakkan sandiwara,” katanya ketika menjadi panel program katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk ‘Pas Bergelut Antara PN Atau MN, Dr Mazlan digandingkan dengan seorang lagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub.

Dr Mazlan yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia berkata, ketika ini rakyat sedang melihat dan menilai penerimaan gabungan seperti ini.

“Harapan orang Melayu sememangnya mahu melihat gabungan parti Melayu khususnya UMNO dan Pas.

“Dulu boleh, kenapa sekarang tidak boleh? Mungkinkah disebabkan beberapa prinsip UMNO yang dilihat tidak boleh bersama dengan Pas?” soalnya.

Sedangkan, banyak kebersamaan yang boleh dijayakan bersama antara UMNO dan Pas jika ruang perbincangan dibuka seluas-luasnya buat kedua-dua parti.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, perjuangan Pas masih berada pada landasan yang sama walaupun Pas sudah menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan.

“Kerana itu saya tekankan mengenai tahaluf siyasi. Pas masih sama, mungkin menggunakan pendekatan berbeza.

“Walau apapun, saya yakin dengan keterbukaan parti-parti lain untuk bersama Pas membuktikan Pas masih sama dan relevan,” katanya.

Baru-baru ini muncul beberapa kepimpinan Pas mula menyatakan hasrat agar Pas kembali bersama Muafakat Nasional (MN) walaupun gabungan itu tidak didaftarkan.

Menurut mereka, jika bersama MN, kerjasama itu akan memperkukuhkan Pas kerana gabungan parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) yang masih baharu kurang mendapat impak khususnya dalam beberapa siri pilihan raya. – MalaysiaGazette