Kota Tinggi Srikandi Bersatu molest sexual harassment ADUN state Assemblyman
Penagih dadah yang terlelap tidur ketika pecah masuk kedai makan untuk mencuri berjaya dibelasah dan dicekup awam.- Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Suspek lelaki pesakit mental yang ditahan  kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di Bangsar pada 14 Mei lalu akan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, individu berkenaan akan menjalani pemeriksaan kesihatan mental di hospital berkenaan selama 31 hari bermula serta-merta.

Suspek telah dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret di Jalan Duta pagi tadi dan mengaku tidak bersalah serta memohon kes dibicarakan.

“Kes akan disebut semula di mahkamah Majistret pada 20 Jun ini.

“Pegawai Penyiasat kes berkenaan menerusi Timbalan Pendakwaraya berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel berkaitan: Pesakit mental cabul kanak-kanak di PPR Kerinchi direman 5 hari

Lelaki dipercayai cabul kanak-kanak di PPR Kerinci pesakit mental – Polis

Tambah beliau, dengan kebenaran mahkamah itu, tertuduh akan dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

“Dia akan diletakkan di bawah tempoh pemerhatian dan pemeriksaan status kesihatan mental bermula hari ini hingga 19 Jun ini iaitu selama 31 hari.

“Kemudian dia akan dihadapkan semula bersama rekod kesihatannya untuk menghadapi sebutan kes pada 20 Jun seperti ditetapkan oleh mahkamah pagi tadi,” jelasnya,

Terdahulu, suspek yang berusia 30-an itu telah direman pada 16 Mei lalu selama lima hari untuk membantu siasatan polis selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak.

Kertas siasatan polis mencadangkan suspek dirujuk ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 KPJ bagi mengesahkan status kesihatan mental.

Dia direman untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak. – MalaysiaGazette