Kebanyakan ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Senibong adalah dalam kalangan B40 termasuk juga murid Orang Asli.

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan (SK) Senibong di Johor Bahru sedang mengumpul dana dalam usaha menjadi pusat pembelajaran digital dalam daerah Pasir Gudang di Johor sebagai hub sehenti komuniti setempat.

Guru besarnya, Jamilah Nain berkata, dana itu dikumpul menerusi projek perkongsian sekolah bestari yang antaranya menaik taraf pusat sumber sekolah tersebut.

Projek itu melibatkan matlamat jangka pendek di mana berhasrat menyediakan kemudahan dan koleksi bahan bacaan untuk warga sekolah dan diurus secara sistematik dan terancang.

“Pada masa sama, pusat sumber itu bakal menggalakkan murid dan guru menjadi pengguna aktif bagi pendidikan digital melalui bahan dan koleksi yang disediakan.

“Selain itu, ia dapat memperkukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran murid ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamilah menambah, bagi mattlamat jangka panjang, Pusat Sumber Sekolah SK Senibong mahu mempomosi Program Galakan Membaca dan Pendidikan Digital serta menjadi hub sehenti kepada komuniti setempat.

Jelas beliau, pusat sumber itu bakal penanda aras kepada Pusat Sumber Cemerlang kategori Sekolah Kurang Murid (SKM) bagi daerah Pasir Gudang dan seterusnya di Johor.

“Pihak sekolah juga ingin melahirkan komuniti berilmu pengetahuan dan mengupayakan komuniti setempat melalui pembudayaan pembacaan berkualiti dan pendidikan digital.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, SK Senibong telah mengadakan program lawatan perkongsian bestari ke SK Liang Batu, Muar yang menerima Anugerah Pusat Sumber bagi kategori SKM sebagai penanda aras bagi sekolahnya.

SK Senibong telah mengadakan program lawatan perkongsian bestari ke SK Liang Batu, Muar baru-baru ini.

“Lawatan yang diadakan baru-baru ini turut melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dan SK Liang Batu itu

“Seramai tiga orang wakil dari PPD Pasir Gudang dan empat orang wakil guru dari SK Senibong yang telah menyertai program lawatan perkongsian pintar ini.

“Terdapat juga wakil dari PPD Muar, PPD Johor Bahru dan dua buah sekolah di Johor Bahru iaitu SK Kempas dan SK Taman Suria yang menyertai program itu,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Senibong merupakan kalangan B40 termasuk juga murid Orang Asli yang bersekolah di situ.

Rata-rata mereka bekerja sebagai nelayan.

Mereka yang berminat untuk membantu dan menyumbang terhadap Projek Smart School Partnership boleh memberi sumbangan ke akaun Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Senibong di nombor akaun Maybank 551294605661 (Rujukan: Smart School Partnership). – MalaysiaGazette