Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap ciapan twitter yang berbaur menggugat ketenteraman awam di media sosial tular sejak 19 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap satu ciapan di Twitter mengandungi kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam melalui media sosial.

Ciapan yang dimaksudkan PDRM adalah membabitkan akaun Twitter Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen DAP yang berbunyi dengan perkataan Will the houses of the Prime minister and Ministers of Malaysia be set on fire by angry protestors as happened in Sri Lanka last week?

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, imej tangkap layar ciapan tersebut turut dikesan telah ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak ia dimuatnaik pada 19 Mei lalu.

“Siasatan berkenaan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.

Tambah Abd Jalil, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mungkinkah rumah PM, menteri dibakar pada 2057 atau 2063? – Kit Siang