Ismail Sabri (tengah) melihat persembahan anggota bomba pada Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2022 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS – Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggotanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sejajar dengan langkah kerajaan bagi memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terus relevan dengan keperluan rakyat sejajar dengan peningkatan risiko semasa.

Mengulas mengenai peruntukan RM132.4 juta, Ismail Sabri berkata, ia meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

Ismail Sabri.

“Saya juga difahamkan terdapat 18 buah projek pembinaan balai bomba dan apabila siap nanti ia akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak (response time), sekali gus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan jabatan bomba.

“Selain itu, kita juga telah meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama (MOB) Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang.

“Saya yakin, ketiga-tiga projek ini mampu merencana impak yang optimum dalam aspek pentadbiran, pengoperasian dan kebajikan anggota,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2020 di sini, hari ini.

Tambah Ismail Sabri, mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, kerajaan kini dalam proses pertimbangan bagi kelulusan permohonan Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023. – MalaysiaGazette