Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ura-ura bahawa penternak ayam mogok dan berhenti mengeluarkan daging ternakan itu selama dua hari kerana kerajaan tidak melangsaikan bayaran subsidi adalah tidak betul.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, khabar angin itu sangat mengarut kerana tiada penternak yang mahu mogok.

Beliau berkata, walaupun sebuah ladang ternakan mahu menghentikan operasi selama dua hari, tetapi keadaan itu berlaku kerana isu dalaman.

“Saya tidak mendengar ada penternak yang mahu melaksanakan mogok kerana semua penternak sangat sibuk pada masa ini.

“Hakikatnya, selama berdekad-dekad lamanya, penternak ayam tidak pernah melaksanakan mogok. Ini justeru merupakan satu tuduhan  yang serius,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Menurutnya, penternak mahu bekerja lapan hari seminggu pada masa ini kerana perlu memastikan aliran tunai yang mencukupi.

“Penternak berdepan isu kenaikan harga bahan mentah dan kos ternakan, dan kami tiada masa untuk memikirkan mogok,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat penternak yang lambat menerima bayaran subsidi untuk ayam kerana dokumen yang tidak lengkap.

“Pihak persekutuan mengambil berat akan isu ini dan berkongsi dengan ahli cara melakukan permohonan, oleh itu kami percaya mereka akan menerima berita baik selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Ayam, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yew Tong  menjelaskan, salah satu ladang di Melaka memilih menghentikan operasi selama dua hari kerana berat ayam di situ belum mencapai dua kilogram.

“Difahamkan, saiz ayam di ladang itu hanya sekitar 1.5 hingga 1.6 kilogram pada masa ini dan mereka perlu lebih banyak masa untuk membesar.

“Pemberhentian operasi justeru tiada kena mengena dengan mogok. Penternak memang berdepan banyak masalah, tetapi kami tidak mogok,” katanya kepada Nanyang Siang Pau. – MalaysiaGazette