pakatan harapan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Calon untuk jawatan timbalan presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi sekurang-kurangnya 80 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang bagi memiliki kuasa rundingan.

Mohd. Rafizi berkata, kedudukan 80 kerusi juga akan membolehkan PH menjadi pakatan politik terbesar sekali gus berupaya untuk berunding dengan kuasa politik lain.

Beliau berkata, berdasarkan analisis keputusan pilihan raya negeri sebelum ini, 80 kerusi adalah mampu dimenangi melalui DAP (35), PKR (30) dan Amanah (10).

“Untuk bakinya pula, kerusi berkenaan boleh disumbangkan parti pembangkang lain yang turut membantah Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Sinchew Daily.

Ujarnya, apa yang penting adalah menjadi kem terbesar dan memiliki kuasa rundingan.

“Walau bagaimanapun, untuk memenangi 80 kerusi, kami memerlukan percaturan termasuk menentukan kerusi mana harus difokuskan dan mana dilepaskan.

“Kami perlu fokus kepada pengundi atas pagar kerana PH terutamanya PKR mempunyai banyak kerusi dengan masyarakat majmuk,” katanya.

Tambahnya, dalam tiga pilihan raya negeri yang lalu, peratusan keluar mengundi orang bukan Melayu adalah kurang daripada 50 peratus.

“Jika kami mendapat sokongan 65 hingga 70 peratus pengundi bukan Melayu dan pengundi Melayu di bandar serta mendapat sokongan lima peratus mereka yang mengundi Perikatan Nasional (PN), maka kami boleh menang dalam pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rafizi berkata, adalah lebih baik menumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya daripada berbincang tentang calon Perdana Menteri PH.

“Dengan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun, paling baik adalah mengizinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memimpin PH kerana pertukaran pemimpin memerlukan masa.

“Selain itu, Anwar merupakan pemimpin paling dihormati dalam kalangan parti-parti PH,” katanya.

Tambah Mohd. Rafizi, beliau tidak mempunyai apa-apa isu dengan Anwar dan kedua-dua mereka juga pernah bekerjasama.

Kata Mohd. Rafizi, satu-satunya teguran Anwar terhadapnya adalah berpendapat dia  bersifat “konfrontasi” dan perlu bertukar menjadi lebih “diplomatik.” – MalaysiaGazette