Kereta Waja yang melawan arus di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), berhampiran pusat beli belah Paradigm Mall.

PETALING JAYA – Polis sedang memperhebatkan usaha mengesan pemandu Proton Waja yang tular di media sosial kerana memandu kereta melawan arus di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), berhampiran pusat beli belah Paradigm Mall.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian itu dikesan pihaknya selepas video kejadian itu ditularkan oleh seorang pengguna Facebook.

“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 19 Mei pada jam 5.10 petang sebelum ianya ditularkan di Facebook.

“Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Setakat ini kita masih lagi dalam usaha mengesan pemandu tersebut untuk tindakan,” katanya dalam kenyataan pada lewat malam tadi.

Sehubungan itu, beliau memohon pemilik asal rakaman tersebut tampil segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membantu siasatan polis.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada undang-undang trafik untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-MalaysiaGazette