Mohamad Sabu (tengah) memotong kek sempena Majlis Hari Raya Rumah Terbuka Parti Amanah Johor di Kempas, Johor.

JOHOR BAHRU – Perikatan Harapan (PH) tidak akan menerima semula parti-parti yang meninggalkan pakatan itu untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan pimpinan PH tumbang merupakan pengkhianatan besar kepada PH akibat ketamakan kuasa untuk memerintah.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, PH terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya PRU ke-15 (PRU15), namun keputusan akan diputuskan oleh jawatankuasa PH.

“Tak ada masalah untuk bertemu dan berbincang, tapi perasaan kehilangan kerajaan akibat perbuatan dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih menyala-nyala di hati apabila kerajaan tumbang kerana Sheraton Move, bukannya melalui PRU.

“Kenapa nak jatuhkan kerajaan PH dahulu, mereka tak fikir dan inilah akibat dia. Sepuluh tahun lagi pun belum tentu boleh pulih keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi yang ada, ini adalah akibat perbuatan sedemikian rupa.

“Dia (Muhyiddin) kena ingatlah bahawa dia sudah melakukan pengkhianatan kepada PH. Rundingan memang boleh dibuat, tapi jawatankuasa PH juga akan tentukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Amanah di Kempas, dekat sini, malam tadi.

Hadir pada majlis Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kedua-dua gabungan itu sama ada wajar untuk membincangkan strategi serta kemungkinan untuk bekerjasama bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional pada PRU15.

Kelmarin, media melaporkan, Muhyiddin menyatakan terdapat usaha pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan PH akan bergerak solo pada PRU15, Mohamad berkata, ia akan diperhalusi sebelum membuat sebarang keputusan dibuat.

“PH juga sudah mengadakan beberapa perbincangan serta mengintai peluang untuk mengadakan kerjasama politik dalam PRU15 meneruskan kerjasama yang dilakukan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Kita sudah mula mengadakan perbincangan dan rundingan sekarang ini untuk melihat kemungkinan kerjasama yang akan dijalinkan. Saya sendiri tak akan membuat keputusan peribadi dan segalanya bergantung kepada jawatankuasa PH,” katanya. – MalaysiaGazette