Zamani Ibrahim

KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Negarawan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) diharapkan menjadi sebuah platform untuk mencurahkan sumbangan idea, tenaga dan buah fikiran dalam mendepani pelbagai isu rakyat di negara ini.

Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, majlis itu bakal memberi nafas baharu dalam menampilkan solusi terhadap isu-isu besar negara seterusnya membantu parti mengetengahkan dasar-dasar dan polisi-polisi berwibawa serta mampan untuk kepentingan rakyat.

“Majlis Negarawan Berjasa ini akan dipengerusikan Abdul Aziz Sardan dan dianggotai oleh 10 orang tokoh pelbagai latar belakang yang akan menunjangi pelbagai cabang fokus.

“Ia mencakupi bidang pendidikan, ekonomi rakyat, dasar luar negara, sosial, alam sekitar, pertahanan, sekuriti makanan, teknologi dan data sains.

“Majlis ini akan menjadi semak dan imbang kepada dasar dan keputusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Majlis Negarawan Berjasa ini juga bakal menyediakan pasukan profesional, berpengalaman dan berkepakaran tinggi untuk parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Berjasa juga mendesak pihak kerajaan mengambil tindakan segera dalam memastikan rakyat tidak terbeban dalam menghadapi kenaikan harga barang.

“Sebuah pasukan khas mesti ditubuhkan bagi memantau harga barang asasi di semua peringkat tidak dinaikkan dengan sewenang-wenangnya serta menghalang cubaan menyorok bekalan makanan oleh mana-mana pihak.

“Tindakan tegas wajib dilaksanakan tanpa kompromi terhadap pihak yang didapati bersalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette