Orang ramai beratur panjang untuk berurusan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur dibanjiri orang ramai yang mahu berurusan di kaunter kerajaan, lebih-lebih lagi di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan memperbaharui pasport.

Demi mengelakkan kesesakan dan beratur panjang, ramai pengguna mengambil langkah bijak dengan memilih untuk berkhemah di premis itu seawal jam 5 pagi, walaupun hakikatnya kaunter kerajaan mula beroperasi pada jam 8 pagi.

Tinjauan MalaysiaGazette di UTC itu hari ini mendapati ramai pengguna yang mengeluh mengenai proses yang mengambil masa panjang bagi sesuatu urusan.

Pensyarah, Aziah Mohd Khalid, 46 bercakap kepada media mengenai urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.

Bagi Aziah Mohd Khalid, 46, beliau ke UTC Pudu untuk memperbaharui passport, untuk melepaskan kerinduannya bercuti di luar negara pada Jumaat akan datang.

Namun pensyarah itu sudah ke bangunan tersebut semalam, tetapi gagal untuk mendapatkan nombor giliran menyebabkan beliau sekali lagi datang ke premis itu seawal jam 7 pagi hari ini.

Walaupun boleh dikatakan awal, katanya ramai yang mula berbaris dua jam lebih awal.

“Sebenarnya saya dah datang semalam tapi sebabkan tak dapat nombor, hari ini pukul 7 saya dah mula beratur, tapi tengahari baru saya berjaya dapatkan nombor untuk berurusan”

“Saya rasa beratur panjang ini kerana jumlah orang yang datang terlalu ramai, dan kami pun diberitahu hanya dua UTC yang dibuka sehingga jam 10 malam, dan malangnya, cawangan ini tidak terlibat dalam tempoh operasi itu” jelasnya.

Menurut Aziah, beliau sudah membuat permohonan memperbaharui passport secara dalam talian namun diarahkan ke UTC KL untuk mengambil passportnya.

“Dah siap bayar, tinggal nak collect (passport) sahaja”

“Tapi nak ambil passport pun terpaksa tunggu seharian. Rasa dah penat sangat tapi sebab betul-betul memerlukan, memang kena hadapilah hari yang panjang ini”

“Harapnya pihak JPJ dapat pertingkatkan lah perkhidmatan ini sebab tujuan online itu adalah untuk memudahkan pengguna, dan mengambil masa beberapa hari untuk proses, lebih dari yang ditetapkan dan membuatkan kami tertanya-tanya.

“Sebab dalam sistem kata lepas tiga hari patutnya dah dapat, tapi macam saya lepas seminggu pun masih belum dapat.” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kontraktor, Kian Ching, 27 bercakap kepada media mengenai urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.

Kontraktor, Kian Ching, 27, berkata, hari ini merupakan hari ketiga beliau datang ke UTC itu bagi tujuan berkaitan pembaharuan passport.

Dakwanya, sistem yang digunapakai sekarang mengambil masa yang lebih lama berbanding sebelum ini yang mana ia hanya akan mengambil masa maksimum selama dua jam dalam sesuatu urusan.

Beliau yang mengutamakan nasib warga emas berpendapat JIM boleh meringankan beban seperti mewujudkan satu lorong khas untuk golongan itu atau beri kebenaran mereka untuk walk-in.

“Saya kesian pada golongan warga emas terutsamanya, beri lah mereka lorong untuk walk-in lah.. saya kesian tengok mereka pun kena berbaris seperti orang lain, kena tunggu lama-lama”

“Kesian tengok.. yang pakai tongkat pun ada..” katanya ketika ditemui di UTC Pudu.

Pengurus Operasi Syarikat Perkapalan, Ad Muzamer Md Din, 54 bercakap kepada media mengenai urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.

Ad Muzamer Md Din, 54, Pengurus Operasi Perkapalan Offshore pula berpendapat, sistem yang digunakan JIM tidak setanding dengan zaman teknologi moden ini.

Jelas beliau, walaupun urusan JIM kini boleh dilakukan secara dalam talian dan dikatakan lebih memudahkan, beliau sebaliknya merasakan ia menyusahkan pengguna kerana memerlukan kehadiran fizikal untuk mengambil passport itu.

“Dulu senang je.. kalau passport dah tamat tempoh, pergi ke kaunter boleh terus berurusan dan terus dapat immediately..

“Ini apply online tapi lepas lima hari pun belum tentu selesai.. kemudian kena datang sini, kena beratur pula” ujarnya yang berpendapat adalah tidak munasabah melaksanakan penggunaan aplikasi dalam talian jika masih memerlukan pengguna hadir dan beratur seperti dahulu.

Ad Mizamer ke UTC Pudu untuk memperbaharui passport untuk menghadiri mesyuarat di Batam, Indonesia.

Dek ramai yang berputus asa menunggu terlalu lama, beliau berharap JIM mengkaji semula sistem yang digunakan bagi kemudahan rakyat.

“Apa guna apply online tapi kena datang beratur berjam-jam.. memang tak munasabah” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast