Mas Ermieyati Samsudin Melaka CM The Minister of Plantation Industries and Commodities (MPIC), Datuk Zuraida Kamaruddin speaks at a news conference after the launch of Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP) at Tenera Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 18 NOVEMBER 2021.
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Semua pengusaha kelapa sawit Malaysia termasuk firma perladangan dan pekebun kecil tidak bimbang dengan langkah Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawit mulai hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun langkah Indonesia ini ada kemungkinan menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan, namun ia tidak akan mendorong penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran sudah menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat sementara.

Lagipun, penganalisis pasaran telah menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun dan suku ke suku.

Meskipun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun yang lebih
besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang telah di dilaksanakan lewat Januari 2022.

Zuraida menyifatkan dasar Indonesia boleh memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, memandangkan ini membolehkan Malaysia muncul sebagai pembekal dominan ke India, yang merupakan pembeli utama minyak makan dunia.

Malah, cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Oktober, daripada lebih 75% sedekad lalu, menurut anggaran daripada Solvent Extractors’ Association of India
(SEA), sebuah badan perdagangan minyak sayuran.

”Dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik tan dari Indonesia, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh SEA.

”Untuk Mei tahun ini, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia,” tambahnya.

Lantaran itu, KPPK percaya bahawa harga MSM akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama (seperti kacang soya, jagung, biji serai dan biji bunga matahari) sama ada disebabkan oleh ketegangan geopolitik atau cuaca yang tidak menentu.

Jelasnya, walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya pada 23 Mei (Isnin) – hampir sebulan selepas mengenakan larangan pada 28 April – masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia masih belum turun ke tahap yang disasarkan (penarikan balik larangan ini boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia).

”Memandangkan prospek jangka sederhana hingga panjang industri minyak sawit Malaysia kekal cerah, KPPK ingin menyeru semua pengusaha kelapa sawit Malaysia untuk berganding bahu dalam membantu menjayakan kempen Minyak Sawit Malaysia
Penuh Kebaikan yang bertujuan menentang pelbagai tanggapan salah berkenaan minyak sawit Malaysia dalam memacu kejayaan komoditi ini di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast