HFMD cases children infectious disease Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat 14 kali ganda semasa hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 pada 21 Mei 2022 kepada 6,197 kes berbanding tempoh sama 403 kes tahun lalu.

Manakala jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/22 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2%.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata, sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak 32 wabak, sekali gus menunjukkan peningkatan 13 kali ganda.

Kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi dan di lokaliti yang sama.

Menurutnya, jangkitan HFMD cepat menular terutamanya di kalangan kanak-kanak jika mereka mempunyai kontak dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD iaitu ulser di mulut, ruam atau lepuh di tangan dan kaki) supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat awam termasuk taska/tadika/sekolah kerana ini akan merebakkan jangkitan.

Ibu bapa diminta membawa anak yang bergejala segera berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat serta menggunakan peralatan makanan dan minuman yang berasingan dan tidak berkongsi barang-barang dengan anak yang lain

Selain itu, pihak pengusaha taska/ tadika juga rumah pengasuh disarankan supaya
melakukan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada gejala HFMD memasuki premis dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain. – MalaysiaGazette