Bendera pkr
Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan cabang di empat negeri perlu menjalani proses pengudian semula Pemilihan PKR 2022 ekoran beberapa masalah termasuk perkara teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Antara cabang yang tersebut adalah cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

Bagaimanapun, tarikh bagi pengundian semula di lapan cabang berkenaan belum dimuktamadkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr. Zaliha Mustafa.

“Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang membincang serta menilai semua bantahan tersebut.

“Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang tersebut,” katanya seperti dilaporkan.

Justeru, Zaliha memaklumkan, keputusan tidak rasmi pemilihan parti berusia 23 tahun yang dijadualkan untuk dipaparkan di laman web rasmi PKR pada hari ini terpaksa ditangguhkan dan ia hanya diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula cabang-cabang berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan lima cabang di Kelantan, Dungun dan Padang Serai telah mengalami masalah teknikal ketika pengundian fizikal manakala cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

Katanya, sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap.

Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei.

Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast