Wee Ka Siong

MELAKA – Semua motosikal keluaran baharu berkapasiti enjin lebih 150cc bakal diwajibkan pemasangan sistem brek antikunci atau Anti-lock Braking System (ABS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi menangani angka kemalangan maut penunggang motosikal yang semakin meningkat saban tahun.

Menurutnya, kerajaan memberi tempoh selama enam bulan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi menjalankan kajian terperinci sebelum mewajibkan pemasangan alat itu pada motosikal selepas dua tahun.

“Kita tak boleh buat satu dasar dengan begitu cepat atau tergesa-gesa, maka kita akan buat persiapan kajian dalam tempoh enam bulan untuk dimuktamadkan, kemudian dua tahun untuk pelaksanaan.

“Maksudnya, kita ada tempoh transisi masa yang mencukupi. Mana-mana pembuat atau pengilang yang sudah siap siaga tiada masalah, boleh teruskan.

“Kalau mereka yang masih ada masalah, dia (pengilang) boleh gunakan tempoh diberikan untuk melakukan (pemasangan ABS) dan kita akan lihat keberkesanan ini apabila dipasang pada penunggang motosikal lebih 150cc,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulangtahun ke-10 Makmal MIROS PC 3 di Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah MIROS, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, teknologi anti gelincir yang membantu menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas ketika gagal mengelak itu diyakini mampu mengurangkan 30 peratus kemalangan dan kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

Jelasnya, kajian oleh MIROS itu akan dijalankan secara berfasa melibatkan semua pemegang taruh termasuk industri pembuat motosikal dan wakil pengguna dan jika berkesan pemasangan turut melibatkan motosikal yang kapasiti enjin bawah 150cc.

“Secara purata sebelum 2019, sebanyak 6,000 kes kemalangan maut direkodkan setahun manakala bagi 2020, purata kemalangan maut merekodkan penurunan iaitu sebanyak 4,658 ekoran pelbagai sekatan perjalanan disebabkan pandemik Covid-19.

“Faktor utama kemalangan dalam kalangan penunggang disebabkan kegagalan mengelak ketika pelanggaran atau terbabas dan sistem ABS dilihat dapat membantu menghalang motosikal daripada penunggang mendapat kecederaan parah terutama di bahagian kepala,” katanya. – MalaysiaGazette