Simptom cacar monyet. Foto thewatchdog.news

DUNIA hari ini dikejutkan dengan satu penyakit yang jarang ditemui yang dinamakan penyakit cacar monyet atau dikenali sebagai monkeypox. Kebanyakan kes telah dilihat pada lelaki gay dan biseksual. Walau bagaimanapun, sesiapa yang mempunyai hubungan rapat dengan seseorang yang mempunyai cacar monyet juga berpotensi mendapat virus itu. Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) turut menyatakan bahawa majoriti daripada kes yang dikesan di UK dan Eropah telah dijumpai pada lelaki gay dan biseksual.

Pihak berkuasa kesihatan di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Australia sedang menyiasat wabak kes cacar monyet baru-baru ini. Penyakit virus ini berasal dari Afrika dan jarang ditemui. Negara Jerman pula melaporkan kes pertama virus itu pada hari Ahad lepas, sekali gus menjadi negara Eropah terbaharu yang mengenal pasti wabak itu, selain UK, Sepanyol, Portugal, Perancis, Itali dan Sweden. Di UK sahaja, kes telah meningkat dua kali ganda sejak mula dikenal pasti pada 7 Mei. Negara tersebut kini mempunyai 20 kes yang disahkan, walaupun kebimbangan semakin meningkat bahawa lebih banyak lagi kes yang belum berjaya dikesan. Terkini, Belgium menjadi negara pertama mengisytiharkan tempoh kuarantin 21 hari bagi individu yang berpenyakit cacar monyet bagi menyelakkan virus ini daripada terus tersebar.

Pegawai daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak cacar monyet dibawa oleh golongan lelaki yang menyebarkannya melalui hubungan seksual sesama jantina (MSM) dan seterusnya virus ini boleh tersebar dengan mudah melalui sentuhan lesi dan cecair daripada badan orang yang telah dijangkiti, serta perkongsian perkara peribadi seperti cadar, bantal dan tuala. Mereka juga memberi amaran jumlah kes boleh meningkat sepanjang musim panas ketika lebih ramai orang menghadiri perhimpunan dan majlis perayaan.

Cacar monyet pertama kali ditemui pada tahun 1958 apabila dua wabak penyakit seperti cacar berlaku di koloni monyet dinamakan ‘monkeypox.’ Kes manusia pertama yang dijangkiti cacar monyet pula direkodkan pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo (DRC) semasa tempoh usaha yang dipergiatkan untuk menghapuskan cacar. Sejak itu, cacar monyet telah dilaporkan di beberapa negara di bahagian tengah dan barat benua Afrika. Kes cacar monyet dalam kalangan manusia yang berlaku di luar Afrika baru-baru ini telah dikaitkan dengan perjalanan antarabangsa atau haiwan yang diimport, termasuk kes di AS, Israel, Singapura dan UK.

Gejala awal yang boleh dikesan termasuklah demam, sakit kepala, bengkak, sakit belakang dan sakit otot. Selepas demam, ruam akan mula dilihat selalunya di bahagian muka, kemudian merebak ke bahagian lain badan, yang paling biasa tapak tangan dan tapak kaki. Ruam boleh menjadi sangat gatal atau menyakitkan, berubah dan melalui peringkat yang berbeza sebelum akhirnya membentuk keruping, yang kemudiannya jatuh. Luka yang terhasil boleh menyebabkan parut.

Jangkitan pula biasanya berlaku antara 14 hingga 21 hari. Virus ini amat mudah merebak dan boleh memasuki badan melalui kulit, saluran pernafasan atau melalui mata, hidung atau mulut. Ia boleh disebarkan melalui hubungan langsung semasa hubungan seks. Walaupun cacar monyet ini  kurang menyebabkan kematian berbanding dengan cacar (smallpox) iaitu kadar kematian di bawah empat peratus dan kebanyakannya sembuh dalam jangka masa dua hingga empat minggu, namun kerisauan yang melanda adalah penyakit ini turut menyerang mereka yang tidak melakukan aktiviti seks songsang ini.

Islam telah melarang sekeras-kerasnya hubungan jenis sesama jantina ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (As-Syu’ara’: 165-166). Sains dan perubatan telah turut membuktikan terdapat penyakit seperti HIV dan penyakit enterik yang biasanya tidak dimaktubkan sebagai penyakit bawaan seks (STD) seperti shigellosis, salmonellosis dan amebiasis.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menentang hubungan seks luar tabi’i di samping menjaga keselamatan dan kesihatan ahli keluarga kita. Kita semua juga perlu mengamalkan langkah-langkah kesihatan seperti biasa iaitu dengan mencuci tangan, mengelakkan tempat umum dan mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mengalami sebarang gejala seperti yang telah dimaklumkan.

Oleh:
Prof Madya Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Pergigian dan Anatomi Perubatan USIM.

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha WARAK PAPISMA