Nazir Hussin Akhtar Hussin chicken export ban
Nazir Hussin Akhtar Hussin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa menyambut baik keputusan Kabinet mengharamkan eksport ayam mulai Jun ini bekalan untuk pasaran tempatan kembali pulih.

Ketuanya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pengharaman itu akan membolehkan kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipulihkan berikutan negara mengeksport kira-kira 3.6 juta sebulan ke luar negara.

Kata beliau, sudah tentu kerajaan akan dikritik oleh pengeksport ayam yang mengaut keuntungan lebih baik di pasaran luar negara berbanding pasaran tempatan.

“Namun, kerajaan tiada pilihan dan harus mengutamakan kepentingan rakyat.

“Sejak awal tahun ini kerajaan berusaha mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan kepentingan peniaga dan penternak ayam.

“Menyedari inflasi yang melambung-lambung, kerajaan telah meletakkan harga siling sekilo ayam pada aras RM8.90,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek yang diumumkan kerajaan.

Beliau menegaskan, tindakan itu diputuskan mesyuarat Kabinet yang akan berkuatkuasa hingga harga dan pengeluaran ayam tempatan kembali stabil dengan memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini.

Menurut Nazir Hussin, pada masa sama, kerajaan telah mengimbangi kos di pihak penternak dengan memberi subsidi 60 sen bagi setiap kilo ayam hidup yang dijual bagi pasaran tempatan.

Malangnya, jelas beliau, sesetengah pihak melihat menjual ayam kepada pasaran luar negara lebih menguntungkan dan memilih untuk mengeksport sehingga menyebabkan pasaran tempatan kekurangan bekalan.

“Walaupun penternak dan peniaga ayam berhak mendapat keuntungan lebih, namun dengan situasi sekarang mereka perlu meletakkan kepentingan rakyat dan negara ini terlebih dahulu.

“Kebimbangan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa ialah keputusan Kabinet ini akan gagal menyelesaikan bekalan ayam sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan di bahagian sempadan tidak diperketatkan.

“Dengan pengharaman eksport ini tidak mustahil kartel ayam akan mencari jalan belakang untuk menjualnya ke luar negara. Ini sekali gus menyebabkan keputusan Kabinet tidak memberi kesan mendalam kepada pasaran tempatan,” ujar beliau.

Katanya, rakyat sering mendengar kisah minyak masak dan beras diseludup ke negara jiran dan tidak mustahil selepas ini isu seludup ayam pula akan berkumandang.

Justeru, pihak penguatkuasa di peringkat kementerian, sempadan dan pelabuhan harus bekerja keras memastikan keputusan kabinet itu dikuatkuasa dengan sepenuhnya. – MalaysiaGazette