RISE International Sports Exhibition Sdn. Bhd. akan menganjurkan ekspo sukan berbasikal terbesar, MyCycleXpo 2022 selama tiga hari bermula 29 Julai ini.

KUALA LUMPUR – RISE International Sports Exhibition Sdn. Bhd. menyasarkan seramai 30,000 pengunjung akan hadir ekspo sukan berbasikal terbesar, MyCycleXpo 2022 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hisham Nik Aziz berkata, objektif ekspo itu adalah menyatukan seluruh peminat sukan berbasikal di bawah satu platform dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab komuniti sukan itu pada masa akan datang.

“Sebelum ini, komuniti sukan berbasikal bergerak mengikut kumpulan masing-masing namun menerusi MyCycleXpo 2022 para usahawan akan bertemu dengan komuniti dan membina rangkaian mereka.

“Pada masa sama, pusat jualan ekspo ini akan menawarkan lima kategori berbeza termasuk basikal dan aksesori, fesyen, pelancongan, penjagaan kesihatan dan kafe gaya hidup.

“Segmen basikal dan aksesori sukan tersebut akan menampilkan peralatan dan teknologi basikal termaju dalam basikal, alat ganti basikal, aksesori dan gajet daripada jenama terkenal.

“Selain itu, MyCycleXpo 2022 juga akan menjadi platform untuk mencari pakaian berbasikal dan pakaian sukan yang direka khas untuk memaksimumkan prestasi penunggang basikal semasa dalam perjalanan,” katanya pada sidang media prapelancaran MyCycleXpo 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sebanyak 300 lot peniaga disediakan dan ketika ini sebanyak 120 lot berharga RM3,800 sudah diisi peniaga dari dalam dan luar negara.

Pelbagai aktiviti lain diadakan sepanjang ekspo
sukan berbasikal terbesar, MyCycleXpo 2022 selama tiga hari bermula 29 Julai ini.

Mengulas lanjut, Hisham memberitahu, pengunjung juga akan berpeluang menunggang basikal bersama bekas pelumba profesional dari Pasukan Berbasikal TSG, Anuar Manan dan juga bintang sukan berbasikal lain yang akan menyertai segmen Ride with Stars.

Tambah beliau, aktiviti lain pula termasuk sesi zumba selama dua jam bersama Kru Tari Nas Adila, Klinik Pro Cycling, Sudut Bacaan oleh Karya Seni, Pameran ‘Fire Sale’, cabutan bertuah, Kejohanan Basikal Tolak Asean, Zon Kanak-kanak, Street Soccer, Pertunjukan Fesyen Berbasikal, acara derma darah dan ceramah serta seminar

“Kami berharap untuk membawa industri berbasikal ke tahap yang lebih tinggi dengan menyediakan satu lagi platform untuk peminat berbasikal bagi meningkatkan gaya hidup melalui berbasikal dan pada masa yang sama meluaskan pengetahuan tentang perkembangan terkini dalam berbasikal.

“Selain itu, dapat menjadi hab bersepadu yang menyumbang kepada pengkomersilan sukan di Malaysia dan Asia dan untuk menyediakan persekitaran yang kukuh bagi perniagaan terutamanya dalam industri sukan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast