Fahami Ashrof.

GEORGE TOWN – Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B) menggesa syarikat  konsesi Jambatan Pulau Pinang mengambil tindakan menangani kes bunuh diri di atas jambatan itu daripada terus meningkat.

Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badarudin berkata, syarikat konsesi disarankan mengambil tindakan awal dengan memasangkan besi penghadang yang secara dasarnya boleh menghalang tindakan cubaan bunuh diri berlaku di atas jambatan tersebut.

“Jambatan Pulau Pinang telah dilihat sinonim dengan kes bunuh diri kerana ia menjadi laluan utama dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

“Kita faham isu bunuh diri ini boleh berlaku di mana-mana saja namun kekerapan insiden itu berlaku di Jambatan Pulau Pinang perlu dititikberatkan agar ia bukan menjadi satu trend.

“Sehubungan itu, saya menyarankan pihak konsesi mengadakan perjumpaan dengan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk membincangkan kaedah pemasangan pagar atau jaring di bawah jambatan yang boleh menjadi aspek keselamatan utama kepada individu yang cuba membunuh diri di situ,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Fahami Ashrof, skuad khas juga harus ditubuhkan sebagai pasukan bertindak awal sekiranya kes bunuh diri berlaku.

“Selain itu, pihak berkuasa atau sukarelawan harus kerap melakukan rondaan di atas jambatan yang mana secara langsung dapat mencegah berlaku perbuatan berkenaan.

”Kerajaan harus ambil kira juga kos operasi pencarian mangsa terjun Jambatan itu ia membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa yang mana mereka terpaksa kurangkan tenaga kerja operasi lain mengembleng tenaga untuk mencari mangsa bunuh diri.

“Kita faham semua ini membabitkan kos namun satu tindakan harus diambil bagi menangani isi ini kerana rata-rata mereka menamatkan riwayat terdiri daripada golongan belia dan ini secara tidak langsung mengurangkan populasi anak muda dalam negara,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa agar Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) yang diperkenalkan pada tahun 2007 ditubuhkan semula bagi membolehkan orang ramai mengakses data berkaitan kes bunuh diri di negara ini.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, sistem tersebut merangkumi maklumat umur, jantina, kumpulan etnik, negeri dan cara bunuh diri yang mana akan membantu jalan penyelesaian jangka masa panjang dalam mencegah cubaan bunuh diri dalam masyarakat.

Menurut kenyataan itu, Suhakam bimbang dengan peningkatan kes cubaan bunuh diri dan bunuh diri yang kelihatan seolah-olah seiring dengan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Terdapat banyak faktor risiko yang boleh menjurus kepada pemikiran untuk membunuh diri dan tindakan bunuh diri termasuk perubatan, psikososial atau tekanan kewangan.

“Ditambah pula dengan pengasingan sosial, kekurangan sistem sokongan keluarga atau ketidakmampuan untuk mendapatkan kaunseling atau sokongan kesihatan mental,” katanya. – MalaysiaGazette