Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak Jabatan Imigresen Malaysia pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Malaysia sentiasa mengambil pendekatan berjaga-jaga dalam mengetatkan kemasukan pengembara di pintu masuk negara termasuk di sempadan Malaysia-Thailand.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, situasi seperti itu bukanlah satu perkara baharu.

“Buat masa ini tiada pengumuman bahawa rakyat Malaysia terbabit, bagaimanapun saya perlu lebih kepastian sebelum menjawab beberapa soalan berhubung insiden itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai insiden beberapa siri letupan bom selain kedengaran kejadian berbalas tembakan di Pekan Tak Bai, Thailand semalam.

Beberapa rakaman video tular di laman sosial menunjukkan api marak dengan beberapa individu melepaskan tembakan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Indera Khairul Dzaimee Daud memberitahu, sehingga kini semua pintu masuk Malaysia-Thailand termasuk kaunter Imigresen beroperasi seperti biasa.

Ujarnya, sebarang penutupan pintu masuk sempadan perlu mendapat persetujuan antara kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

“Kalau nak tutup kita kena ada kerjasama dengan Thailand dan tidak boleh dia buka dan kita tutup,” katanya.

Tambah beliau, kaunter Imigresen di semua pintu masuk Malaysia-Thailand telah dibuka sejak 4 Mei lepas bagi memudahkan rakyat negara ini melawat saudara mara mereka di negara jiran itu.

“Jika mereka mahu masuk sebagai pelancong, mereka mesti ada lokasi penginapan dan menunjukkan tarikh tiket untuk pulang serta membawa wang saku yang cukup untuk berbelanja di Malaysia.

“Kita sentiasa ketatkan pergerakan masuk pengembara Thailand ke negara ini dan kawalan di pintu masuk memang mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” jelasnya. – MalaysiaGazette