Pelancaran The Great Reset 2030 Parti Bangsa Malaysia di Klang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 21 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia mengesahkan telah menerima borang permohonan menyertai Parti Bangsa Malaysia PBM daripada Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang yang merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad berkata, permohonan ini akan melalui proses sewajarnya iaitu melalui perbincangan bersama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PBM dan keputusan permohonan tersebut akan dimaklumkan sejurus selepas itu.

”Bagi pihak Parti Bangsa Malaysia, kami amat berbangga dan teruja dengan perkara ini memandangkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang berdedikasi, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sebagai pemimpin yang dekat kepada rakyat di akar umbi.

”Perkara ini mengukuhkan lagi keyakinan kami bahawa enam teras perjuangan yang dibawa oleh Parti Bangsa Malaysia yang berbilang kaum ini terus mendapat sambutan dari pelbagai peringkat rakyat di negara ini dan menambah semangat kami dalam membina momentum untuk terus bekerja keras demi Bangsa Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette