Mohamed Salah. Foto Sky Sports.

LONDON – Penyerang sensasi, Mohamed Salah mengesahkan dia tidak akan meninggalkan Liverpool pada musim panas ini, sekaligus menunjukkan komitmen kepada The Reds menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid pada Sabtu ini.

ESPN melaporkan, pemain yang berkongsi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim ini dengan Son Heung-Min dari Tottenham Hotspur akan tamat kontrak di Anfield pada penghujung musim depan.

Namun Salah, 29,  masih belum membuat komitmen untuk memeterai perjanjian baharu dengan pasukan Jurgen Klopp.

Ketidaktentuan mengenai masa depan pemain antarabangsa Mesir itu telah menimbulkan spekulasi bahawa Salah boleh meninggalkan Liverpool bagi mengelak pemergiannya sebagai ejen bebas pada musim berikutnya.

Real Madrid dan Paris Saint-Germain telah dikaitkan dengan bekas penyerang Chelsea dan AS Roma itu kerana kegagalannya untuk bersetuju dengan syarat baharu di Liverpool setakat ini.

Bagaimanapun pemain itu tidak menyatakan dia akan menandatangani perjanjian baharu di Anfield, Salah kini berkata dia mahu terus kekal di Liverpool untuk musim hadapan.

“Saya hanya fokus kepada pasukan dan tidak mahu bercakap mengenai kontrak saya. Namun saya pasti akan kekal musim depan, itu sudah pasti.

“Ia adalah minggu yang sangat penting untuk kami, jadi saya hanya fokus pada pasukan. Saya mahu memenangi Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi,” kata Salah pada sidang media sebelum Liga Juara-Juara Eropah.

Salah akan sekali lagi menentang Real Madrid dalam tempoh empat tahun namun dia mengalami kecederaan semasa kekalahan final Liga Juara-Juara menentang kelab Sepanyol itu di Kiev pada 2018.

Pemain itu mengakui bahawa dia berazam untuk membalas dendam atas kekalahan yang didakwa sebagai malam paling teruk dalam kerjayanya. – MalaysiaGazette

https://www.espn.com/soccer/soccer-transfers/story/4674937/mohamed-salah-on-liverpool-future-im-staying-next-season-for-sure