KUALA LUMPUR – Bukan hak parti untuk menentukan jawatan menteri, tetapi ia adalah hak perdana Menteri berdasarkan kepada Perlembagaan pelantikan menteri Kabinet.
Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, perkara itu perlu dirujuk mengikut undang-undang serta menyatakan tidak ada kuota bagi mana-mana parti untuk setiap lantikan.
“Saya terima berita semalam ada ura-ura untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan melantik seorang lagi ahli Parlimen atau Senator Bersatu untuk jadi menteri menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin.
“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula kata jawatan menteri yang dikosongkan Zuraida adalah hak dan kuota mereka (Bersatu) untuk diisi.
“Saya ingin ingatkan Muhyiddin bahawa kuasa untuk melantik timbalan perdana menteri dan menteri Kabinet adalah di tangan Perdana Menteri, bukan di tangan Presiden Bersatu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelasnya, Muhyiddin tidak boleh mendahului Perdana Menteri dan perlu menyerahkannya kepada Perdana Menteri untuk pertimbang dan buat keputusan.
“Selepas itu, beliau perlu menerima budi bicara dan keputusan Perdana Menteri walaupun keputusan itu tidak memihak kepadanya.
“Muhyiddin perlu ikut undang-undang bukan buat undang-undang sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut Isham, berdasarkan pertimbangan politik, tidak masuk akal untuk melantik seorang timbalan perdana menteri dan menteri daripada Bersatu pada masa ini.
“Mereka (Bersatu) telah kalah teruk dalam pilihan raya kebelakangan ini termasuk di Melaka dan di Johor.
“Ini menunjukkan secara terang dan nyata bahawa rakyat telah menolak mereka dan jawatan kerajaan yang dipegang mereka kini tidak mendapat mandat daripada rakyat.
“Apabila mereka (Bersatu) melompat parti, mereka telah hilang legitimasi atau keabsahan demokratik,” katanya.
Tambahnya lagi, menteri-menteri Bersatu yang berada di dalam Kabinet hari ini adalah mereka yang tidak kompeten atau pelompat parti.
“Jika ada lagi dalam kalangan mereka ini dilantik dalam Kabinet untuk jadi timbalan perdana menteri atau menteri pula, ia akan melemahkan lagi kerajaan dan menambah persepsi negatif rakyat kepada kerajaan dan bukannya sebaliknya.
“Di kala keadaan ekonomi yang perlu dipulihkan segera dan harga barang yang semakin meningkat, menteri-menteri Bersatu yang tidak kompeten, pelompat parti dan tidak mendapat mandat ini sepatutnya perlu ditukar bukan dikitar semula dalam kerajaan.
“Negara tidak perlukan menteri-menteri yang tidak kompeten dan pelompat parti yang gila kuasa dan pentingkan diri sendiri,” ujarnya.
Isham berkata, pada masa sekarang negara memerlukan menteri-menteri yang cekap, berintegriti dan berprinsip lebih-lebih lagi di masa yang kritikal ini.
Semalam, Muhyiddin menerusi satu kenyataan berkata, Bersatu akan mengemukakan calon bagi menggantikan tempat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Zuraida ketika ini.
Beliau berkata, Bersatu akan mengemukakan satu nama baru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota Bersatu.
Muhyiddin membuat kenyataan itu selepas Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Kabinet dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – MalaysiaGazette