Hamidin menyampaikan amanat khas kepada para pemain skuad kebangsaan bawah B23 yang akan berlepas ke Tashkent pada Ahad (29 Mei 2022) sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Republik Korea pada 2 Jun 2022, Thailand 5 Jun 2022 dan Vietnam 8 Jun 2022. Foto Ihsan FAM Kelana Jaya
KUALA LUMPUR – Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu kisah pahit di Hanoi terus membayangi para pemain skuad Bawah 23 kebangsaan sebaliknya mereka perlu  kembali bersedia dengan misi sebenar dalam saingan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 Jun hingga 19 Jun ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menyampaikan amanat tersebut dalam satu pertemuan khas dengan anak buah jurulatih Brad Maloney di Kelana Jaya, hari ini.
Beliau turut menyuarakan keyakinannya skuad muda negara mampu melakar keputusan baik andai mereka mengekalkan fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi dalam perlawanan.
“Saingan Piala Asia B-23 2022 adalah misi sebenar skuad muda negara ini selepas menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi.
“Jangan cepat berpuas hati, pemain-pemain kena memberikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.
Tambah beliau, berdepan juara bertahan Republik Korea dan dua pasukan musuh serantau iaitu Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang.
“Jadi terpulang kepada pemain-pemain untuk menyahut cabaran ini, tapi saya berharap mereka akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat yang terakhir,” katanya dalam amanat khas itu.
Skuad Harimau Malaya B-23 akan berlepas ke Tashkent pada Ahad (29 Mei 2022) sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Republik Korea pada 2 Jun 2022, Thailand 5 Jun 2022 dan Vietnam 8 Jun 2022.- MalaysiaGazette