Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan beramah mesra pengundi pada pemilihan Cabang Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Kalumpang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 28 MEI 2022.

HULU SELANGOR – Benarkah Dr Sathia Prakash memenangi jawatan Ketua Cabang Hulu Selangor pada pemilihan PKR yang diadakan hari ini?

Walaupun pengumuman rasmi hanya akan dilakukan pada jam 12 tengah malam ini namun penyokongnya yang menunggu di luar Dewan Orang Ramai di Kalumpang, di sini, selepas Penyelaras Tempat Undi (PTU) memaklumkan pusat undian di tutup mula melaungkan ‘reformasi’ seolah-olah beliau telah memenangi jawatan itu.

Bagaimanapun Dr Sathia yang ditemui MalaysiaGazette enggan mengulas, sebaliknya hanya menunggu keputusan rasmi.

Pemilihan cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan pada minggu lalu berikutan penyediaan peralatan seperti kerusi dan meja tidak diuruskan dengan baik sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong.

Pemilihan hari ini berjalan lancar dengan undian fizikal bermula jam 9 pagi dan tamat 5.30 petang.

Calon Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, June Leow Hsaid Huis beramah mesra pengundi pada pemilihan semula PKR bagi Cabang Hulu Selangor mengundi secara fizikal dan menjalankan tanggunjawab masing-masing mengundi pemimpin mereka pada pemilihan Cabang Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Kalumpang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 28 MEI 2022.

Cabang Hulu Selangor menyaksikan Ahli Parlimen Hulu Selangor yang merupakan penyandang jawatan dicabar Dr Sathia dan Datuk Azizan Zakaria.

Sementara itu, Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri, Mazli Sarang berkata, seramai 1,397 daripada 22,644 ahli PKR mengundi secara fizikal hari ini.

“Keadaan aman, saya berterima kasih kepada semua pihak (calon) yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik, mengawal penyokong dengan bagus sekali.

“Kita juga ada sebanyak 103 undi ragu yang siasatan terlebih dahulu. Sejurus selepas siasatan rapi kita akan umum keputusan esok,” ujarnya.

Seramai 93,085 ahli PKR daripada hampir sejuta ahli parti telah mengundi setakat ini, termasuk 76,932 ahli yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei.

Seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap pada pemilihan kali ini dengan pemilihan secara secara hibrid bermula 13 Mei.  – MalaysiaGazette

Dr Sathia Prakash sertai politik, tanding Ketua Cabang PKR Hulu Selangor