Bangunan usang Jeti Nelayan di Pantai Rombang antara empat jeti nelayan di Tanjung Kling yang akan dibaikpulih melibatkan peruntukan RM200,000 bermula minggu hadapan

MELAKA – Lebih 300 nelayan berdaftar di empat jeti nelayan sekitar Tanjung Kling, di sini, bakal tersenyum lebar apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membaikpulih semua jeti berkenaan bermula minggu depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, empat jeti berkenaan adalah Jeti Nelayan Pantai Puteri, Pantai Jaring, Pengkalan Perigi dan Pantai Rombang yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menurutnya, lawatan ke kawasan berkenaan sudah pun dibuat minggu lalu bersama beberapa pihak terlibat termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan kontraktor projek berkenaan.

“Isnin ini (30 Mei) kita akan mulakan kerja-kerja baik pulih semua empat jeti ini melibatkan bajet RM200,000 daripada LKIM menggantikan struktur jeti lama daripada kayu yang sudah uzur dan tidak selamat digunakan sejak puluhan tahun lalu.

“Sebelum ini jeti ini ada juga diperbaiki tapi tidak secara menyeluruh yang mana kali ini kita akan gantikan struktur tiangnya kepada konkrit yang akan beri manfaat kepada 300 nelayan berdaftar tidak termasuk lebih 300 lagi nelayan yang dalam proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka DUN Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini malam tadi.

Tuminah Kadi

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika semuanya berjalan lancar, projek berkenaan dijangka siap Ogos ini dengan setiap jeti nelayan dianggarkan membabitkan kos sekitar RM50,000.

“Walaupun tiangnya digantikan dengan konkrit, masih ada sebahagian binaan yang masih elok akan dikekalkan dengan kayu mengikut kesesuaian.

“Pihak kontraktor juga akan turut mengenal pasti bangunan di jeti mana yang perlu ditambah baik demi keselamatan dan keselesaan nelayan,” tambahnya. – MalaysiaGazette