Mohd Zaiham Mohd Kahar

KUALA LUMPUR – Anak seorang bekas diplomat yang ditahan polis pada 21 Mei lalu atas kesalahan menanam pokok ganja di rumahnya di Janda Baik, Bentong disambung reman hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong,  Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek dibenarkan untuk disambung reman selama lima hari lagi bagi membantu pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

“Tempoh reman ke atas suspek berusia 53 tahun itu tamat hari ini. Pagi tadi dia telah dihadapkan ke mahkamah semula dan berjaya memperoleh perintah sambung reman bermula esok hingga 4 Jun ini,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas diplomat terlibat kes pokok ganja bebas dengan jaminan polis

Anak bekas duta tanam 102 pokok ganja keliling rumah

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan suspek pertama kes berkenaan iaitu bekas diplomat bergelar Datuk dan juga bapa kepada suspek kedua telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya tamat.

Katanya, kertas siasatan kes berkenaan dalam proses untuk dilengkapkan dan akan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara segera untuk arahan lanjut.

Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf  berkata, seorang anak kepada bekas duta Malaysia ke Indonesia ditahan atas dakwaan menanam dan memiliki 102 pokok ganja di Janda Baik.

Katanya, suspek disyaki menanam 68 pokok ganja di atas tanah manakala 34 lagi anak pokok semaian di dalam beg plastik di vila kediaman bapanya yang berusia 78 tahun.- MalaysiaGazette