Sebutir bom lama yang disyaki diguna untuk latihan ketenteraan ditemui di longkang oleh pekerja kontrak di Kepong hari ini.- Gambar ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pekerja kontrak terkejut selepas menemui sebutir bom lama zaman Perang Dunia Kedua di dalam longkang di tepi Jalan Taman Pusat Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai objek itu daripada orang awam.

Unit Pemusnah Bom dari IPK KL bergegas ke lokasi untuk menyiasat penemuan bom lama yang kemudian disahkan tidak aktif dan tidak merbahaya itu di Kepong hari ini. Ihsan IPD Sentul

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah bergegas ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan lanjut UPB di lokasi mendapati bom tersebut tidak lagi aktif,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Pegawai UPB mengesahkan bahawa objek tersebut adalah sebutir Bom Mortar Practice 40 MM berwarna putih yang kebiasaannya digunakan dalam latihan ketenteraan.

Tambah Eng Lai, bom tersebut kemudiannya telah dibawa ke Cawangan Persenjataan Ibupejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Jesteru itu, polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang awam berkaitan insiden penemuan bom lama itu,” katanya.

Orang ramai juga dinasihati untuk segera menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 sekiranya menjumpai sebarang objek yang mencurigakan dan tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast