Selangor Kit Siang Anwar gelombang hijau
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang secara muktamad menyatakan dia tidak akan berdebat dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjadikan ‘kleptokrasi’ sebagai alasan untuk tidak bersemuka dengan Najib sambil menambah Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghilangkan diri selepas memalukan negara.

Tambah Kit Siang, beliau terpaksa mengecewakan Najib untuk tidak berdebat kerana telah bersara daripada politik kompetitif.

“Saya telah menarik diri daripada politik sebegitu tetapi lebih penting lagi, saya tidak akan berdebat dengan Najib Razak.

“Kerana perkara terbaik yang boleh beliau lakukan jika beliau benar-benar cintakan Malaysia ialah hilang dari kancah politik Malaysia selepas kehinaan dan kedurhakaan yang dibawanya kepada negara dengan menjadikan Malaysia sebagai kleptokrasi pada tahun-tahun beliau menjadi perdana menteri.

“Dia hanya membawa lebih banyak kehinaan, kehinaan dan kedurhakaan kepada Malaysia dengan mendakwa bahawa dia berbangga dengan kleptokrasi Malaysia di dunia,” katanya,

Kit Siang juga berkata, beliau tidak mahu berdebat dengan Najib kerana tidak mahu memberikan sebarang platform kepada bekas perdana menteri itu yang hanya akan meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan Najib bahawa tidak ada salahnya untuk menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam penghargaan persaraan anjuran Badan Perhubungan Parlimen DAP Bukit Mertajam semalam dan dikongsi di blognya.

Najib sebelum ini telah beberapa kali mencabar Kit Siang untuk berdebat selepas veteran politik DAP itu didakwa mengaitkannya dengan pelbagai isu dengan terkini melibatkan pilihan raya Filipina dan kekecawan di Sri Lanka.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau hairan apabila Kit Siang yang mengumumkan bersara daripada politik terus membuat hasutan.

“Kononya dah bersara tapi tiap-tiap hari ratib Najib, Najib, Najib, Malaysia bakal gagal dan menghasut/menipu Rakyat. Pilihan raya di Filipina pun dia mahu kaitkan dengan saya.

“Sekiranya bukan bersara, mau debat? Hari itu saya debat Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Bahasa Malaysia tapi bagi uncle saya tawar untuk debat kamu dalam Bahasa Inggeris.

“Banyak yang saya nak tanya hang seperti kenapa kamu meroyan lebih 10 tahun tentang kematian Teoh Beng Hock yang jatuh bangunan tapi kamu sepatah haram tidak pernah sebut tentang kematian mengejut saksi utama kes Terowong yang juga jatuh bangunan sebulan sebelum mendiang dijadualkan memberi keterangan dalam mahkamah,” kata Najib seperti yang dilaporkan media.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.