Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menyatakan kebimbangan mengenai rancangan kerajaan untuk menghantar pekerja mahir Malaysia ke Jepun, berpendapat bahawa tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk meningkatkan bekalan tempatan yang mencukupi.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, memandangkan tiada rundingan atau butiran awal disediakan mengenai potensi eksport kemahiran ke Jepun, persekutuan berharap lebih banyak maklumat mengenai Memorandum Kerjasama (MoC) oleh Kementerian Sumber Manusia dapat dikongsi supaya industri jelas mengenai bagaimana kerjasama itu berfungsi.

“Malaysia kini menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal, terutamanya pekerja mahir, yang menjejaskan pemulihan ekonomi negara kita. Kekurangan buruh telah menyebabkan kerja terhenti dan kurang pengeluaran di seluruh industri.

“Pengeluaran telah mengalami kekangan yang teruk, menyebabkan kegagalan untuk memenuhi pesanan sedia ada dan menerima yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan berkata, ia merancang untuk menghantar siswazah mahir tempatan dan/atau pekerja mahir yang layak untuk bekerja di Jepun di bawah MoC antara Malaysia dan Jepun.

Soh berkata, kekangan bekalan barangan untuk memenuhi permintaan yang diperlukan akan menambah lagi tekanan inflasi walaupun kenaikan kadar faedah penanda aras baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia bertujuan untuk mengurangkan inflasi.

Pada masa ini, katanya Malaysia masih membuat persediaan untuk mendapatkan lebih ramai pekerja mahir melalui pelbagai program seperti Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) serta promosi kursus Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di pelbagai peringkat sistem pendidikan.

Beliau berkata institusi dan industri awam tempatan sedang meningkatkan inisiatif kerjasama dalam mempromosikan TVET dan STEM sebagai cara untuk meningkatkan minat dan penyertaan belia Malaysia yang lebih besar dalam pendidikan TVET dan STEM.

“Ini juga merupakan inisiatif untuk menyokong transformasi teknologi industri kita dan pada masa sama untuk mengurangkan pengambilan ekspatriat mahir.

“MoC dengan Jepun dilihat akan menjejaskan inisiatif itu dan kerja keras daripada semua pihak yang terlibat yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

“Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan transformasi industri dan teknologi, justeru, kekurangan pekerja mahir yang kritikal dijangka berterusan untuk tempoh beberapa tahun akan datang berikutan kita menghadapi perubahan transformasi dan peningkatan permintaan untuk tenaga kerja mahir,” katanya.

Selain itu, katanya Malaysia telah mengalami masalah penghijrahan tenaga mahir sejak beberapa tahun ini berikutan ramai rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

Malaysia telah berusaha keras untuk membawa pulang diaspora ini melalui pelbagai inisiatif, kata Soh, sambil menambah justeru, Malaysia perlu meneruskan program mampan dan melaksanakan semua yang perlu untuk memastikan industri tidak menghadapi kekurangan pekerja mahir.

“Negara perlu lebih prihatin dengan isu penghijrahan tenaga mahir dan memikirkan mengenai membawa pulang pendapatan dari luar negara melalui program pertukaran.

“Mendapat peluang peningkatan kemahiran di negara maju boleh menjadi sesuatu yang boleh dipertimbangkan oleh majikan Malaysia selepas atau sebagai sebahagian daripada latihan semasa bekerja.

“Daripada menghantar pekerja mahir, Malaysia perlu mempertimbangkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat di Malaysia untuk program perantisan formal dan peningkatan kemahiran yang akan dijalankan oleh syarikat induk global.

“Ini akan membantu mengurangkan kekurangan kemahiran yang dihadapi oleh industri kita,” katanya.

Dengan keadaan pekerjaan semasa iaitu nisbah 80:20 untuk pekerja tempatan kepada pekerja asing yang dikenakan oleh kerajaan, Soh berkata MoC akan menjejaskan keupayaan industri Malaysia untuk mendapatkan tenaga kerja mahir. – MalaysiaGazette