Zairil.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membantah pelaksanaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Muda, Kedah dan hulu muka sauk Lahar Tiang sekiranya ia memberi kesan negatif kepada negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengabstrak lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan setiap hari untuk menghasilkan air terawat dari Sungai Muda.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sekiranya projek tersebut tidak mematuhi undang-undang berkaitan.

“Kesan akibat pelaksanaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Muda masih belum diketahui namun sekiranya projek itu menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.78 juta penduduk di Pulau Pinang kita akan bertindak untuk menghentikannya serta-merta.

“Antara pilihan untuk memberhentikan pelaksanaan projek yang merugikan ini adalah termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan dan mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Zairil, krisis bekalan air di Pulau Pinang juga akan menyebabkan kerugian besar kepada semua perniagaan yang kini menyumbang sebanyak RM94.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019.

“Ketika  ini Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengabstrak lebih 80 peratus air mentah dari Sungai Muda untuk menghasilkan air terawat setiap hari.

“Oleh itu, kita tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah tidak boleh menjalankan projek di Ulu Muda yang belum dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette