Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) beramah mesra dengan sebahagian atlet yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Gagal membawa pulang pingat emas semasa Sukan SEA Hanoi baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar skuad e-sukan dapat meningkatkan prestasi mereka pada masa depan.

Meskipun gagal mencapai sasaran namun Ahmad Faizal yakin wakil skuad berkenaan telah berusaha sebaik mungkin semasa pertandingan.

“Pada saya, apa yang saya harapkan daripada mereka adalah buat yang terbaik. Bila kita sarung jersi negara, mewakili negara kita tidak boleh harapkan selain daripada mereka memberi persembahan yang terbaik.

“Tapi dalam memberikan yang terbaik itu ada pula peserta lain beri yang lebih baik, kita tidak dapat nak harapkan lebih lagi sebab wakil negara kita telah memberikan usaha yang terbaik.

“Maka saya harap mereka terus menjalani latihan, memberi tumpuan kepada apa yang boleh menaikkan prestasi mereka dan dalam kejohanan-kejohanan lain akan datang buatlah yang terbaik yang lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Menurut Faizal Azumu, selain prestasi yang perlu menjadi keutamaan namun dalam masa yang sama kemeriahan industri berkenaan juga penting kerana ia akan menjadi faktor para atlet  sentiasa laku di pasaran sekaligus meraih pendapatan.

“Yang jauh lebih penting yang saya selalu tekankan adalah industri sukan tersebut. Kalau kita mampu membawa pulang berpuluh pingat emas tapi akhirnya atlet kita tidak boleh cari makan pun tidak boleh.

“Jadi akhirnya, dalam kita nak mengejar pingat kita juga nak pastikan industri sukan itu dapat kita semarakkan,” tambah Ahmad Faizal.

Sebagai rekod, walaupun menyasarkan satu emas kepada negara pada Sukan SEA Hanoi namun skuad e-sukan gagal mencapai matlamatnya.

Skuad berkenaan juga gagal mempertahankan pingat gangsa acara Mobile Legend: Bang Bang selepas tewas kepada Singapura dalam penentuan tempat ketiga Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Vietnam pada 20 Mei lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast