KUALA LUMPUR- Inflasi Malaysia pada tahun 2021 meningkat 2.5 peratus yang didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api.

Peningkatan ini juga tertinggi dibandingkan 0.7 peratus yang direkodkan semasa
pra pandemik tahun 2019.

Sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam “bakul” IHP mencatatkan kenaikan,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat namun usaha kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin percuma kepada rakyat telah membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja.

Selain itu, kebenaran rentas negeri dan semua sektor ekonomi telah dibuka semula bermula pada 11 Oktober 2021 telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengedaran dan peruncitan.

Secara keseluruhannya, kenaikan inflasi 2.5 peratus disumbangkan oleh indeks pengangkutan (11.0%); makanan & minuman (1.7%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.6%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.5%) yang menyumbang 72.0 peratus kepada keseluruhan wajaran IHP.

Sebanyak 80.0 peratus komponen makanan dalam kumpulan makanan & minuman mencatatkan peningkatan.

Katanya, pada tahun lalu, kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman yang mempunyai sumbangan terbesar di dalam bakul IHP, mencatatkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 3.3 peratus.

Subkumpulan minyak & lemak merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kumpulan ini dengan kenaikan 3.3 peratus diikuti daging (3.2%); ikan & makanan laut (3.1%); susu, keju & telur (2.3%); keluaran makanan tidak terkelas di tempat lain (2.3%) dan sayur-sayuran (2.1%).

Peningkatan harga komoditi global telah memberi kesan kepada inflasi makanan.

Malah, Mohd Uzir berkata, peningkatan harga ayam yang melebihi purata harga ayam pada tahun 2020 adalah impak daripada kenaikan harga stok makanan haiwan.

Di samping itu, peningkatan dalam inflasi makanan pada 2021 juga turut dipengaruhi oleh peningkatan harga makanan global yang kebanyakannya merupakan input utama kepada produk makanan tempatan.

Peningkatan akan memberi kesan kepada semua golongan isi rumah terutamanya kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah, tambahnya.

Menurut beliau, kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi tetapi tujuh negeri melepasi paras inflasi nasional 2.5 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.4%), sementara Kuala Lumpur (2.0%) dan Sabah & Labuan (1.6%) merupakan dua negeri yang merekodkan peningkatan paling rendah.

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan makanan & minuman dengan Selangor dan Putrajaya tertinggi (2.4%) diikuti Pahang (2.3%), Terengganu (2.2%), Kelantan (2.1%), Johor (1.8%) dan Perak (1.8%).

Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur, minyak masak dan ikan & makanan laut pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Inflasi bandar pada tahun 2021 meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.1 peratus yang direkodkan pada tahun sebelum ini. – MalaysiaGazette