logo mahlamah

PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu lori mengugut dua wanita termasuk anak seorang ‘Datuk’ membawa padah apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Nurshahira Abdul Salim turut memerintahkan R. Thiruselvam, 38, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan, menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah kedai makan di Taman Kinrara, Puchong pada 2.30 pagi 10 November 2019 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang keluar membeli makanan dengan kakak sepupunya didatangi seorang lelaki tidak dikenali dan mengugut mahu memotong bapa mangsa yang juga seorang Datuk.

Sejurus menerima ugutan itu, kedua-dua wanita melarikan diri dan terus memasuki kereta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Kailash Sharma merayu agar tertuduh dijatuhi hukuman ringan atas alasan Thiruselvam telah insaf.

“Dia perlu menanggung ibu bapanya dan ibunya baru sahaja menjalani pembedahan mata,” katanya. – Bernama